PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada tujuh Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu dilantik, susulan penerimaan watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 4 September lalu.
Pertemuan yang berlangsung pada hari Selasa itu menjadi platform penting bagi Perdana Menteri menyampaikan amanat kepada para diplomat agar mereka terus memperkukuh hubungan strategik dengan negara-negara tuan rumah masing-masing.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menekankan keutamaan untuk memacu kerjasama ekonomi dan pelaburan demi kemakmuran negara.
“Fokus utama perlu diberikan kepada usaha memacu aktiviti perdagangan dua hala dan menarik pelaburan asing berkualiti tinggi demi menjamin kemakmuran ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab sebagai wakil Malaysia di luar negara menuntut komitmen tinggi dalam melaksanakan dasar diplomasi yang berlandaskan kepentingan nasional.
Anwar menyatakan keyakinan bahawa semua perwakilan baharu akan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan membawa imej positif Malaysia di persada antarabangsa.
“Moga mereka menggalas tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan cemerlang,” tambahnya.
Tujuh perwakilan yang hadir ialah Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah (Duta Besar ke Thailand), Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman (Duta Besar ke Arab Saudi), Datuk Yubazlan Yusof (Pesuruhjaya Tinggi ke Afrika Selatan), Datuk Mohammad Ali Selamat (Duta Besar ke Brazil), Mohamad Razdan Jamil (Duta Besar ke Jerman), Haznah Md. Hashim (Duta Besar ke Sepanyol), dan Datuk Azri Mat Yacob (Duta Besar ke Poland).
Pelantikan mereka adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh hubungan diplomatik, perdagangan dan kerjasama strategik Malaysia di pelbagai rantau termasuk Asia, Timur Tengah, Eropah, Amerika Selatan dan Afrika.