PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambut ketibaan Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh, Profesor Dr Muhammad Yunus, yang memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia bermula semalam.
Ketibaan tokoh ekonomi sosial tersohor itu diraikan dengan istiadat penuh kehormatan termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, mencerminkan penghormatan tinggi Malaysia terhadap hubungan dua hala yang semakin erat.
Selepas sambutan rasmi, kedua-dua pemimpin mengetuai delegasi masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala serta pertemuan tertutup yang berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif.
“Lawatan ini bukan sekadar memperkukuh persahabatan dua negara tetapi juga membuka lembaran baharu kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan Bangladesh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.