PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menerima taklimat mengenai perkembangan terkini beberapa projek pembangunan utama di Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan penekanan agar pelaksanaannya selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Antara projek baharu yang dibentangkan termasuk Kota MADANI Putrajaya dan Bandar MADANI Bukit Jalil, yang kini berada di landasan tepat dengan penerapan menyeluruh elemen MADANI.
Projek itu turut menampilkan konsep sekolah vertikal serta kemudahan komuniti bersepadu, menjadikan pembangunan lebih inklusif dan berdaya huni.
Menurut Anwar, pendekatan pembangunan tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran bandar yang tersusun, mampan dan memenuhi keperluan rakyat pelbagai lapisan.
“Setiap projek pembangunan mesti memberi manfaat langsung kepada rakyat, sama ada daripada segi infrastruktur, kemudahan moden atau kualiti kehidupan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain projek baharu, Anwar turut memberi perhatian terhadap pembangunan semula di beberapa lokasi strategik yang berpotensi meningkatkan nilai guna tanah serta kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau juga meneliti isu berkaitan pembinaan Masjid MADANI, dengan arahan supaya proses pembinaannya dipercepatkan agar rakyat dapat menikmati kemudahan tersebut tanpa kelewatan.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara seimbang dengan menitikberatkan pemeliharaan identiti dan warisan bandar.
Pelaksanaan projek berteraskan konsep MADANI itu merupakan sebahagian daripada agenda jangka panjang kerajaan dalam membina bandar yang lestari, progresif dan berorientasikan kesejahteraan rakyat, selaras dengan hala tuju pembangunan negara.








