PM Terima Toyota Mirai Hidrogen, Pacu Agenda Mobiliti Hijau Negara

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menerima penyerahan kenderaan berkuasa hidrogen Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) Toyota Mirai daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sekali gus menandakan langkah baharu dalam usaha memperkukuh agenda mobiliti hijau negara.

Penyerahan itu disifatkan sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan berasaskan inovasi.

Anwar berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada kesungguhan Kerajaan MADANI untuk menerajui peralihan kepada mobiliti bersih dan pintar, selaras dengan keperluan masa depan negara.

“Ini bukan sekadar penggunaan teknologi baharu tetapi manifestasi iltizam kerajaan untuk membina ekosistem hijau yang berdaya saing dan inklusif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa pembangunan ekosistem hidrogen membuka ruang kerjasama strategik dengan rakan industri tempatan dan antarabangsa, sekali gus memacu pelaburan serta inovasi automotif di peringkat serantau.

Menurut beliau, keyakinan pemain industri terhadap hala tuju Malaysia membuktikan dasar kerajaan berada di landasan tepat dalam menjadikan negara sebagai hab teknologi hijau di Asia Tenggara.

Langkah itu juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon serta memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang, menjadikan mobiliti hijau sebagai salah satu tonggak utama dalam transformasi ekonomi negara.

Penggunaan FCEV hidrogen merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia mempercepat peralihan kepada ekonomi rendah karbon menerusi agenda Malaysia MADANI.

MOSTI memainkan peranan penting dalam memacu penyelidikan, pembangunan dan inovasi teknologi bersih, termasuk memperkenalkan aplikasi hidrogen dalam sektor pengangkutan.

Anda Mungkin Berminat