CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sasaran baru untuk meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Beliau menetapkan sasaran 70 peratus pelajar yang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) memilih jurusan STEM bermula tahun depan.
Menurutnya, langkah itu bertujuan meningkatkan minat terhadap bidang berkaitan, kejuruteraan serta kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat di peringkat global.
“Buat masa ini, ramai pelajar kurang berminat dengan STEM kerana mata pelajaran seperti Matematik dan Sains dianggap sukar.
“Jadi, tahun ini kita akan berusaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang ini,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), semalam.
Selain itu, katanya, 30 peratus tempat di SBP dan MRSM akan diperuntukkan kepada pelajar yang memilih jurusan sains sosial dengan harapan mereka bukan sahaja berkemahiran dalam aspek teknikal tetapi juga memahami hubungan kemanusiaan.
Anwar turut menggesa syarikat korporat dan GLC untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha menambah baik kemudahan sekolah termasuk masalah tandas yang usang dan tidak selesa digunakan pelajar.
“Terdapat 8,600 tandas sekolah yang perlu diperbaiki dengan anggaran kos RM1 bilion.
“Ini bukan tugas kerajaan semata-mata tetapi syarikat korporat juga boleh memainkan peranan dalam membantu sekolah-sekolah berhampiran mereka,” tambahnya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa sektor pendidikan, hospital dan projek mitigasi banjir menjadi antara keutamaan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.