PM Timor Leste ucap takziah kepada mangsa banjir Malaysia

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, menyampaikan rasa simpati dan solidariti mendalam kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir.

Xanana menegaskan bahawa Timor Leste berdiri teguh bersama Malaysia dalam menghadapi cabaran ini.

“Saya ingin menyampaikan simpati dan solidariti tulus kepada rakyat Malaysia atas musibah banjir ini, mewakili kerajaan dan rakyat Timor Leste.

“Kami juga mengucapkan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa Timor Leste kini sedang menghadapi musim hujan dengan cabaran banjir di beberapa kawasan, walaupun berskala lebih kecil.

“Kami juga mengalami hujan lebat dan banjir, namun orang ramai berkata lebih baik berhadapan bencana kecil daripada setahun tanpa hujan,” tambahnya.

Ucapan ini disampaikan dalam sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Setakat ini, seramai 123,832 mangsa banjir dilaporkan terjejas melibatkan 37,290 buah keluarga di 543 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam sembilan buah negeri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat