LUMUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut bagi meninjau perkembangan pembinaan Littoral Combat Ship (LCS) yang sedang giat dilaksanakan.
Ketibaan beliau diiringi oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Dalam sesi taklimat yang diberikan, Anwar menerima laporan terkini mengenai kemajuan pembinaan lima buah kapal LCS yang bakal memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara.
Lawatan itu turut disertai oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang bersama-sama Anwar menyaksikan sendiri perkembangan projek yang melibatkan penyertaan vendor Bumiputera serta membuka peluang pekerjaan kepada hampir 2,000 tenaga kerja mahir tempatan.
LCS merupakan kapal tempur pertama milik TLDM yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia, menandakan satu pencapaian penting dalam industri pertahanan negara.
Projek itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan maritim Malaysia tetapi juga memberi impak ekonomi dengan melibatkan kepakaran tempatan dalam pembinaannya.