PM Tinjau Persiapan Akhir Belanjawan MADANI 2026

KUALA LUMPUR: Menjelang pembentangan Belanjawan MADANI keempat esok (Jumaat), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau persiapan akhir di Kementerian Kewangan, menandakan komitmen tinggi pentadbiran beliau terhadap dokumen kewangan negara yang bakal menentukan hala tuju ekonomi dan kebajikan rakyat.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut beramah mesra dengan warga kementerian sambil menandatangani beberapa dokumen penting berkaitan belanjawan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober, bermula pukul 4 petang.

Dalam tinjauan tersebut, beliau berkata, fokus utama Kerajaan MADANI kekal utuh untuk memperkukuh ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Usaha memperkukuh ekonomi negara dan menjaga kesejahteraan rakyat akan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri telah mempersembahkan dokumen cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam satu sesi menghadap di Istana Bukit Tunku.

Belanjawan MADANI kali ini dijangka membawa pendekatan yang lebih inklusif dan berani dengan tumpuan kepada reformasi ekonomi, pengukuhan daya saing negara serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

Ia juga bakal menjadi penanda aras kepada keupayaan kerajaan dalam menangani cabaran global dan membina masa depan yang mampan untuk semua lapisan masyarakat.

Anda Mungkin Berminat