PM Tinjau Persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin meluangkan masa meninjau persiapan akhir lokasi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung minggu hadapan, sambil menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi untuk memastikan sidang itu memberi kesan yang bermakna kepada rantau ini.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di media sosial, Anwar berkata, setiap perbincangan yang bakal berlangsung harus membawa hasil yang konkrit dan memperkukuh hubungan antara negara anggota serta rakan dialog ASEAN.

“Sebagai Pengerusi, kita harus memastikan setiap perbincangan yang berlangsung memberi impak nyata, memperkukuh kesepaduan serantau dan membawa manfaat kepada seluruh negara anggota serta rakan-rakan dialog yang terlibat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa seluruh jentera kerajaan dan agensi berkaitan telah diarahkan untuk melaksanakan persiapan dengan penuh ketelitian dan komitmen tertinggi bagi memastikan kelancaran acara berprestij itu.

“Saya juga telah mengarahkan seluruh jentera kerajaan dan agensi berkaitan untuk melaksanakan persiapan terbaik dengan ketelitian dan komitmen tertinggi,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dijangka menjadi platform penting bagi membincangkan isu-isu serantau termasuk keselamatan, ekonomi, perubahan iklim dan kerjasama strategik dengan rakan luar seperti China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persiapan sidang tersebut.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus dalam memastikan segala urusan persiapan ini berjalan lancar,” katanya lagi.

Sidang kemuncak ini bakal menjadi medan penting untuk Malaysia menonjolkan kepimpinan diplomatiknya di peringkat serantau, selain memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok yang bersatu dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.

Anda Mungkin Berminat