Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan terbuka apabila mampu menerima kritikan secara matang khususnya daripada golongan mahasiswa.
Mantan Pengerusi Angkatan Mahasiswa dan mantan Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nur Nazirah Abdullah berkata, Perdana Menteri tidak mudah melatah terhadap tindak balas anak muda, sebaliknya mengambil pendekatan lebih rasional.
“Sebagai seorang mahasiswa yang menjadi agen pengantara masyarakat dan kerajaan, imej mahasiswa itu sendiri perlu dijaga.
“Imej mahasiswa penting untuk dijaga kerana ia merupakan cerminan sama ada mahasiswa sekarang mampu membawa satu perubahan untuk mengubah nasib masa depan negara,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Menurut beliau, sikap atau sentimen yang kurang beretika dalam kalangan mahasiswa hanya akan menjejaskan tujuan sebenar sesuatu demonstrasi dan mencetuskan persepsi negatif terhadap golongan itu.
Tegasnya, mahasiswa perlu berdemonstrasi secara intelektual sebagai bukti bahawa mereka adalah kelompok berilmu dan berfikiran matang.
Terdahulu, tular insiden protes Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang menyaksikan sekumpulan pelajar universiti awam membakar karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri sehingga mencetuskan perdebatan awam mengenai batas kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa.