Oleh: Nadhirah Akmam
SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya menghadiahkan telefon baharu kepada sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Hadiah khas itu diberikan sebagai simbol penghargaan terhadap keberanian dan semangat juang aktivis berkenaan yang ditahan tentera Israel sebelum ini. Telefon mereka dilaporkan dirampas dan dibuang ke laut ketika insiden penahanan pada 8 Oktober lalu.
Pemberian khas tersebut disampaikan menerusi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik kesemua aktivis tiba di tanah air petang tadi.
“Saya ingin menyampaikan hadiah khas daripada Perdana Menteri kepada kesemua sembilan aktivis Freedom Flotilla sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan ketabahan mereka,” katanya semasa menyerahkan peranti berkenaan.
Langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat yang terlibat dalam misi kemanusiaan di luar negara, selain menghargai usaha mereka memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Sembilan aktivis Malaysia itu merupakan antara 150 peserta dari 25 negara yang menyertai pelayaran kemanusiaan FFC-TMTG ke Gaza. Mereka dibebaskan oleh pihak Israel pada 10 Oktober hasil rundingan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Turkiye.
Baca juga: