PM ucap selamat maju jaya kepada kepimpinan baharu FAM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berharap agar kepimpinan baharu ini dapat membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara.

“Selamat maju jaya buat barisan kepimpinan baharu FAM.

“Semoga dapat membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Ucapan itu disampaikan semasa kunjungan hormat Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub ke atas Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantan Presiden FAM yang kini menjawat jawatan Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),Tan Sri Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam pertemuan itu, Joehari berkongsi agenda terkini hala tuju bola sepak negara terutamanya usaha memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi.

Beliau turut membentangkan persiapan terkini skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.

“Perjumpaan dengan Perdana Menteri hari ini merupakan satu penghormatan besar bagi FAM dan bola sepak negara.

“Kami komited untuk meningkatkan kualiti bola sepak Malaysia dan memastikan pembangunan bakat muda yang berterusan,” katanya.

Datuk Joehari hadir bersama Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram serta tiga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh.

Turut mengiringi adalah Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Anda Mungkin Berminat