PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Menyambut Mid-Autumn Festival atau Pesta Tanglung kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia.
Beliau menyeru agar semangat keharmonian dan kebersamaan terus dipupuk dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Dalam satu hantaran sempena perayaan tersebut, Anwar menzahirkan harapan agar sambutan Pesta Tanglung tahun ini membawa sinar kedamaian dan kegembiraan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Raikanlah keindahan bulan purnama bersama keluarga tersayang dengan penuh keceriaan dan kebahagiaan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa keunikan Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya untuk meraikan pelbagai perayaan dengan penuh rasa hormat dan semangat muhibah, menjadikan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan utama negara.
Katanya, kepelbagaian ini bukan sekadar warisan tetapi juga pengikat yang membuka ruang untuk saling memahami dan menghargai antara satu sama lain.
“Dengan memahami dan menghargai warisan budaya sesama rakyat, kita memperkukuh kerukunan dan perpaduan serta memperkayakan jiwa bangsa dengan semangat saling menghormati dan bekerjasama,” ujarnya.
Anwar berkata, semangat perpaduan ini adalah asas penting dalam membina masa depan Malaysia yang berteraskan nilai MADANI iaitu adil, sejahtera dan berperikemanusiaan.