PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penuh makna sempena Tahun Baharu Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu kepada masyarakat Tamil, Sikh dan Malayalee yang meraikannya.
Beliau berkata, perpaduan adalah kekuatan utama Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
“Kita raikan kepelbagaian ini dengan rasa bangga kerana inilah warna-warni Malaysia yang menjadikan negara kita unik dan kuat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat tentang pentingnya semangat kebersamaan.
Dalam usaha memperkasakan komuniti India, Anwar mengumumkan pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan perniagaan, peningkatan pendidikan dan peluang pekerjaan.
“Kerajaan juga akan terus berusaha untuk menambah baik penyediaan rumah ibadat serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini,” katanya.