PETALING JAYA: Keterujaan rakyat Malaysia selepas negara menjuarai FIFAe World Cup 2024 Ft. eFootball Mobile turut dikongsi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di laman X, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada wakil Malaysia, Ahmad Muhaimin atau lebih dikenali sebagai Minbappe serta Skuad FAM eRimau atas kejayaan bersejarah ini.
“Terus cemerlang dan harumkan nama negara di pentas dunia!” ciapnya, hari ini.
Terdahulu, skuad FAM eRimau mencipta sejarah dengan menewaskan Maghribi 2-0 dalam aksi final pada Khamis.
Minbappe memenangi perlawanan pertama 3-0 dan perlawanan kedua 2-0, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM80,000.
Malaysia menjadi negara ASEAN pertama menjuarai kejohanan itu yang berlangsung dari 9 hingga 11 Disember di Riyadh, Arab Saudi.
Empat orang wakil Malaysia dalam kejohanan ini adalah Minbappe, Mohamad Danish Hakim Nor Azam, Mohamad Norhaikal Mohamad Noh dan Muhammad Hariz Hazmi Hakimi.