PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas kejayaan bersejarah melaksanakan pemindahan hati kepada seorang bayi lelaki berusia empat bulan dengan berat 6.2 kilogram (kg).
Dalam satu ciapan di X pada Ahad, beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti tahap kepakaran, profesionalisme dan dedikasi tinggi warga kesihatan negara dalam menangani prosedur yang amat kompleks serta berisiko tinggi.
“Tahniah kepada pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas kejayaan bersejarah melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan seberat 6.2 kilogram,” katanya.
Sejarah tercipta pada 25 November lalu apabila pasukan multidisiplin PPUM berjaya melaksanakan pembedahan pemindahan hati ke atas bayi tersebut, yang menerima derma organ daripada ibu kandungnya sendiri.
Menurut kenyataan PPUM, bayi berkenaan direkodkan sebagai penerima pemindahan hati paling muda dan paling ringan pernah dilakukan di Malaysia, sekali gus mencatat pencapaian baharu dalam rawatan pemindahan organ pediatrik negara.








