PM Ucap Tahniah Kepada Presiden Baharu Korea Selatan

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Lee Jae-myung atas pemilihannya sebagai Presiden baharu Republik Korea, sekali gus menyifatkannya sebagai detik penting dalam landskap demokrasi negara itu.

Menerusi satu kenyataan, Anwar berkata, keputusan pilihan raya itu membuktikan keteguhan dan keazaman rakyat Korea Selatan untuk memperbaharui kepercayaan terhadap institusi dan hala tuju negara.

“Saya mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Presiden Lee dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, teknologi, keamanan dan keselamatan serta jalinan erat antara rakyat kedua-dua negara.

“Hubungan Malaysia-Korea Selatan telah dipertingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik pada November 2024, satu pencapaian penting yang mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua negara,” katanya.

Anwar turut menyuarakan harapan agar ASEAN terus diberi keutamaan dalam dasar serantau Korea Selatan.

Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN dan APEC pada tahun ini, Malaysia dan Korea Selatan berada dalam kedudukan strategik untuk menerajui inisiatif serantau yang berimpak tinggi.

“Dalam suasana global yang tidak menentu, kerjasama lebih erat antara Asia Tenggara dan Korea Selatan amat penting untuk kesejahteraan serantau,” jelasnya.

Anwar turut menyatakan beliau menantikan pertemuan dengan Presiden Lee di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang diterajui Malaysia pada Oktober ini dan sekali lagi di Gyeongju bagi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.

“Malaysia mendoakan semoga beliau dikurniakan kebijaksanaan dan kejayaan dalam memimpin negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat