PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada gandingan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King, atas kejayaan gemilang mereka menjuarai Macau Open 2025, yakni gelaran sulung mereka dalam siri BWF World Tour.
Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian membanggakan buat negara.
“Tahniah saudara Wan Arif dan Roy King! Kejayaan ini membanggakan negara.
“Teruskan semangat juang demi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.
Pasangan muda negara itu mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan utama kejohanan, Moh Reza Pahlevi dan Sabar Karyaman Gutama dari Indonesia, dalam perlawanan akhir yang berlangsung selama 79 minit.
Mereka menang straight sets dengan keputusan 22-20, 21-18.
Aksi dramatik itu turut mencuri perhatian apabila perlawanan terpaksa dihentikan beberapa kali akibat kebocoran bumbung di Macau East Asian Games Dome sehingga memaksa gelanggang dikeringkan hampir setiap kali selepas mata dimainkan.
Kejayaan ini menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia dalam acara beregu lelaki di kejohanan tersebut.
Kali terakhir Malaysia meraih gelaran adalah pada tahun 2013 menerusi gandingan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong.
Lebih manis, kemenangan ini juga merupakan kali pertama Wan Arif-Roy King menewaskan pasangan Indonesia itu selepas tiga kekalahan terdahulu.
Tahun lalu, mereka muncul naib juara Spain Masters dan tahun ini menunjukkan prestasi konsisten dengan mara ke separuh akhir Orleans Masters serta suku akhir di beberapa kejohanan utama lain.