PM ucap tahniah pelantikan Dr Muhammad Yunus ketuai Bangladesh

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pemenang Hadiah Nobel Dr Muhammad Yunus atas pelantikannya sebagai ‘Ketua Penasihat’ kerajaan sementara Bangladesh.

Beliau berkata pengalaman luas Muhammad Yunus menjanjikan harapan untuk membimbing negara itu dengan kebijaksanaan dan integriti.

“Ketika fajar baru terbit di Bangladesh, membawa pembaharuan yang didorong oleh semangat dan visi masa mudanya.

“Saya teringat kata-kata abadi dari pelukis-penyair-ahli falsafah Bengali yang hebat, Rabindranath Tagore: “Di mana minda dibimbing ke hadapan olehmu ke dalam pemikiran dan tindakan yang semakin meluas; ke syurga kebebasan itu, ayahku, biarkan negaraku bangun.

“Pada detik penting dalam sejarah ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada rakyat Bangladesh dan masa depan yang cemerlang”, katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Muhammad Yunus 84, mengangkat sumpah jawatan pada Khamis, menerajui pentadbiran kerajaan peralihan di Bangladesh.

Majlis angkat sumpah Yunus dan pasukannya dilakukan di hadapan Presiden Mohammed Shahabuddin yang diadakan di pejabat presiden di ibu negara Dhaka.

Terdahulu, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina meletakkan jawatan lalu melarikan diri ke India berikutan bantahan besar-besaran menentang kerajaannya.

Bagaimanapun, anak lelakinya Sajeeb Wazed Joy menyatakan Hasina akan kembali ke Bangladesh sebaik keadaan pulih seperti biasa.

Anda Mungkin Berminat