PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar turut menzahirkan doa mewakili Kerajaan MADANI agar Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat Diraja dikurniakan keafiatan yang berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
“Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau dan seluruh rakyat akan terus menjunjung ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. Dirgahayu Tuanku!” katanya.