KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79, hari ini.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri turut mendoakan agar Baginda terus kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Semoga hubungan dua hala serta kerjasama erat antara Malaysia dan Brunei terus diperkukuh demi manfaat bersama buat kedua-dua negara serta seluruh rakyatnya, Insya-Allah,” katanya.
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menaiki takhta pada 5 Oktober 1967 dan dimasyhurkan sebagai Sultan ke-29 pada 1 Ogos 1968, menjadikan Baginda antara pemerintah beraja paling lama memerintah di dunia.
Hubungan Malaysia dan Brunei terjalin kukuh sejak Brunei merdeka pada 1984 dengan kerjasama aktif dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, pendidikan, ekonomi, kesihatan dan kebudayaan.
Brunei turut menjadi antara rakan dagang utama Malaysia di rantau ASEAN, manakala pergerakan rakyat kedua-dua negara juga dipermudah tanpa keperluan visa.
Baca juga: