PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merafak sembah dan menzahirkan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj.
Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut mendoakan kesejahteraan berpanjangan buat Tuanku Sultan, Tengku Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja Selangor.
“Merafak Sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.

“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan, Tengku Permaisuri dan seluruh Kerabat Diraja terus dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan serta kekal qarar memayungi rakyat negeri Selangor.
“Dirgahayu Tuanku,” katanya.
Terdahulu, sempena ulang tahun keputeraan ke-80, baginda berkenan menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, bersama Raja Muda Tengku Amir Shah dan pemimpin negeri.
Baginda turut menerima sebuah buku meja kopi istimewa berjudul Estetika Taman Nurani Masjid-Masjid di Selangor, yang menghimpunkan keindahan seni bina masjid di negeri ini sebagai penghargaan terhadap warisan Islam dan budaya.








