PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, Perak, hari ini.
Dalam ciapan di X, Anwar turut menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga terlibat.
“Salam takziah diucapkan kepada keluarga anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi.
“Saya turut mendoakan agar kesemua yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan sesegera mungkin selain dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam satu kenyataan hari ini berkata, kegagalan fungsi stereng sebuah lori pasir dipercayai menjadi punca utama kemalangan yang menyebabkan 10 anggota FRU maut setelah dirempuh di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Perak.
Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada pukul 8:51 pagi, melibatkan sebuah lori Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang membawa 18 Pegawai Rendah Polis (PRP) dan sebuah lori bermuatan pasir.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 8 orang PRP PSP unit 5 termasuk pemandu lori telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala seramai enam orang PRP PSP unit 5 mengalami cedera parah dan empat orang PRP PSP unit lima mengalami cedera ringan.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya.
Noor Hisam turut menjelaskan bahawa lori pasukan berkenaan sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
“PDRM Perak menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga yang terlibat,” ujarnya.