PM ucap takziah keluarga bekas pemangku Pengerusi Bersih

PETALING JAYA: Perdana Menteri mengucapkan takziah kepada keluarga bekas pemangku Pengerusi Bersih, Shahrul Aman Mohd Saari yang meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN) awal pagi tadi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan diberikan tempat yang terbaik di sisi-Nya. Kami turut berdoa agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang penuh ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut hantaran di media sosial Ikram, solat jenazah Allahyarham akan dilaksanakan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang selepas solat Zohor, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan.

Shahrul Aman memangku jawatan pengerusi Bersih dari Mac hingga Oktober 2018, selepas Maria Chin Abdullah melepaskan tugas tersebut untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha kepada bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat