PM ucap takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Silam

PETALING JAYA: Negara kehilangan seorang tokoh politik apabila Datuk Salleh Kalbi, mantan Ahli Parlimen Silam, dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Lahad Datu akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham yang berusia 61 tahun telah menerima rawatan di hospital selama lebih dua minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Salleh Kalbi dikenali sebagai seorang pemimpin yang rendah hati dan mudah didekati rakyat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat Barisan Nasional bagi Parlimen Silam dari tahun 2008 hingga 2013 dan terus aktif dalam perjuangan politik melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga akhir hayatnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham.

“Takziah kepada keluarga allahyarham Datuk Salleh Kalbi. Beliau dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi.

“Datuk Salleh adalah mantan Ahli Parlimen Silam selain merupakan sahabat saya.

“Semoga keluarganya kuat dan cekal dengan ujianNya dan mendoakan agar roh almarhum ditempatkan bersama kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jenazah allahyarham akan diuruskan dan disolatkan di Masjid Firdaus Kampung Sapagaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Terusan selepas solat Zohor, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Fatmah Abdul Aziz serta dua anak perempuan, Amirah Mahfuzah Syopieah dan Amera Elezadiba Syalesiah.

Anda Mungkin Berminat