PM ucap terima kasih kepada Razarudin atas khidmat sebagai Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Razarudin Husain atas jasa, kepimpinan serta dedikasinya sepanjang menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Anwar memaklumkan beliau menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Razarudin pagi tadi.

“Saya doakan Tan Sri Razarudin dikurniakan kesihatan yang baik dan terus diberi kekuatan untuk menyumbang kepada negara dalam apa jua bidang. Terima kasih atas segala khidmat bakti yang begitu bermakna kepada rakyat dan negara,” katanya.

Razarudin memegang jawatan Ketua Polis Negara selama dua tahun secara kontrak bermula 23 Jun 2023, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dan akan menamatkan perkhidmatannya pada Ahad ini.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebelum menyandang pelbagai jawatan penting dalam pasukan keselamatan negara.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa semalam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat