PM Umum Baucar Buku Madani untuk Guru, Tegas Perlu Garis Panduan Bahan Bacaan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian ‘Baucar Buku Madani’ buat seluruh golongan pendidik di Malaysia ini bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Anwar menjelaskan, perluasan insentif itu merupakan langkah berterusan kerajaan Madani dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Tahun ini kita bagi baucar kepada semua guru-guru. Tahun depan kita lihat dulu keadaan ekonomi negara sebab kita sedang bertarung dengan tarif.” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pemberian baucar kepada pelajar institusi pengajian tinggi masih diteruskan, namun akan melalui penyesuaian yang akan dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM).

“Dalam masa sama, pemberian Baucer Buku Madani kepada pelajar universiti masih diteruskan dengan beberapa pengubahsuaian yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM),” ujarnya.

Beliau menyampaikan perkara itu ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan keperluan untuk menetapkan garis panduan yang jelas dalam pemberian baucar tersebut, bagi memastikan kualiti bahan bacaan yang dibeli.

“Harus ada garis panduan. Buku yang diberi, tidak semua buku berkualiti dan menggalakkan ilmu,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat