Oleh: Tyah Helmi
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan khabar gembira hari ini bahawa penjawat awam Gred 56 ke bawah bakal menikmati ‘Duit Raya’ atau bonus menerusi Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500.
Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut bersetuju menyalurkan bantuan BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
“Kerajaan menimbang secara serius walaupun pada hemat saya (isu bonus penjawat awam) sudah diselesaikan pada bulan Februari tetapi kerana mengenangkan, pentadbiran itu lebih baik, khidmat mereka lebih baik dan kesungguhan yang ada.
“Maka saya putuskan, insya-Allah dalam minggu depan, kita akan salurkan Gred 56 ke bawah, RM500 bagi setiap penjawat awam dan untuk pesara, RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, Sepang, Selangor hari ini.