PM Umum Dana Tambahan RM100 Juta Untuk Palestin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi mengumumkan bantuan tambahan sebanyak RM100 juta bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang sedang dilanda kebuluran dan krisis kemanusiaan di Gaza.

Pengumuman itu dibuat semasa beliau berucap di Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung penuh semangat di Dataran Merdeka, sebagai acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.

“Mana pun saya pergi saya tak pernah tinggalkan saudara-saudaraku Palestin.

“Sumud Nusantara adalah Sumud Rakyat Malaysia dan rakyat yang cintakan keamanan.

“Malam ini saya umumkan RM100 juta sebagai permulaan dana,” kata Anwar dalam ucapannya.

Bantuan ini menyusul selepas jumlah serupa disalurkan pada tahun 2023, menjadikan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin semakin jelas dan berterusan.

Anwar turut menggesa lebih banyak syarikat korporat dan swasta agar tampil menyumbang dana tambahan demi memperkukuh usaha kemanusiaan ke Gaza.

“Saya minta syarikat-syarikat besar turut prihatin menyalurkan bantuan kepada Gaza,” tambahnya.

Karnival Sumud Nusantara yang dianjurkan bersama oleh MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) bukan sahaja menjadi medan solidariti rakyat Malaysia tetapi juga titik tolak kepada pelepasan delegasi Flotilla Sumud Nusantara yang akan membawa bantuan terus ke Gaza.

Lebih 100,000 peserta hadir ke Dataran Merdeka malam tadi, berpakaian serba putih sebagai simbol perpaduan dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Acara turut diserikan dengan bacaan Qunut Nazilah, persembahan qasidah, syarahan khas dan pembacaan Deklarasi Sumud Nusantara untuk Gaza.

Anda Mungkin Berminat