PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan lima langkah segera sebagai usaha meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, merangkumi bantuan tunai bersasar, penurunan harga petrol RON95, cuti umum tambahan, serta peluasan program jualan murah.
RM100 Tunai untuk Semua Dewasa
Dalam inisiatif julung kali seumpamanya, semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bakal menerima bantuan tunai RM100 secara one-off melalui MyKad, di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bantuan itu boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di lebih 4,100 lokasi, termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart, bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.
Langkah ini dijangka memanfaatkan seramai 22 juta rakyat, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara, bantuan tunai diagihkan kepada semua rakyat dewasa tanpa mengira latar belakang,” ujar Perdana Menteri.
Cuti Umum Sempena Hari Malaysia
Kerajaan turut mengisytiharkan 15 September 2025 (Isnin) sebagai cuti umum tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, langkah ini bertujuan menggalakkan silaturahim sesama keluarga dan menyemarakkan semangat perpaduan melalui percutian dalam negara.
Jualan Rahmah MADANI Diperluas
Peruntukan bagi program Jualan Rahmah MADANI turut digandakan kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta sebelum ini. Ia bertujuan meningkatkan kekerapan dan capaian jualan di seluruh negara, termasuk kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jenis barangan yang dijual juga akan dipelbagaikan, bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna,” kata Anwar.
Tiada Kenaikan Tol Tahun Ini
Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya yang sepatutnya dinaikkan tahun ini, selaras perjanjian konsesi. Antara lebuh raya yang terlibat termasuk MEX, LPT2, SKVE, SDE dan LLB.
Penangguhan ini melibatkan kos lebih RM500 juta yang akan ditanggung kerajaan demi kepentingan pengguna.
Subsidi Petrol Disasar, Harga RON95 Turun RM1.99
Dalam satu pengumuman penting, Anwar berkata harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter bagi rakyat Malaysia apabila pelaksanaan penyasaran subsidi dimulakan penghujung September 2025.
Kerajaan memberi jaminan bahawa hanya warganegara asing perlu membayar harga pasaran, manakala golongan rakyat biasa tidak akan terjejas.
Penstrukturan ini, menurut beliau, akan mengurangkan ketirisan subsidi yang sebelum ini menelan hampir RM20 bilion setahun hanya untuk RON95.
“Kita mahu subsidi disasarkan kepada yang layak. Ini bukan hanya soal angka, tapi keadilan buat rakyat,” tegas Perdana Menteri.
Langkah-langkah yang diumumkan ini menjadi sebahagian daripada strategi menyeluruh Kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat sambil memastikan kelestarian fiskal negara menjelang Belanjawan 2026 yang bakal dibentang Oktober ini.
Baca juga:








