PM Umum Penghargaan Kepada Rakyat Esok

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa satu bentuk penghargaan istimewa kepada rakyat akan diumumkan esok pada pukul 10:30 pagi, sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap sokongan padu rakyat Malaysia.

Penghargaan itu, menurut beliau, adalah janji yang telah dinyatakan sebelum ini dan bakal memberikan manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.

“Insya-Allah, esok (Rabu) saya akan umumkan penghargaan yang dijanjikan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada rakyat Malaysia yang sentiasa teguh bersama dalam setiap langkah reformasi,” katanya dalam satu hantaran, hari ini.

Anwar turut menyatakan harapan agar pengumuman tersebut menjadi lambang kesepakatan antara kerajaan dan rakyat dalam membina sebuah negara yang lebih adil, makmur dan berdaya saing.

Kerajaan MADANI sebelum ini telah berkali-kali menzahirkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat, menerusi pelbagai dasar bantuan serta reformasi sistemik yang inklusif.

Sebelum ini, sebuah poster yang dimuat naik di Facebook rasmi Anwar bertulis ‘Akan Datang. Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku’ menarik perhatian dan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Anda Mungkin Berminat