PM Umum Peruntukan RM200,000 Kepada Persekutuan Kristian Malaysia

PETALING JAYA: Malaysia hanya akan terus aman dan makmur jika rakyat berpegang teguh pada prinsip keadilan dan menolak naratif sempit yang digerakkan oleh kelompok perkauman serta pelampau agama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Jamuan Teh Krismas bersama komuniti setempat di Petaling Jaya, sebaik tiba dari Langkawi pada Sabtu.

Dalam majlis itu, Anwar mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada Persekutuan Kristian Malaysia bagi menyokong usaha memupuk kefahaman, keharmonian antara agama serta pengukuhan nilai moral dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Malaysia hanya akan melangkah jauh jika kita berpegang teguh pada keadilan, ihsan dan prinsip kemanusiaan serta berani mengurus perbezaan secara adil dan bertanggungjawab.

“Inilah semangat MADANI yang menjadi asas kekuatan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Majlis itu berlangsung dalam suasana penuh harmoni yang mencerminkan kepelbagaian sebenar Malaysia.

“Di sebalik segala perbezaan dan kerumitan, Malaysia kekal sebagai negara yang aman dan makmur.

“Keamanan ini hanya akan berkekalan jika disokong oleh dasar yang adil kepada setiap rakyat tanpa memberi ruang kepada kebencian dan sikap pelampau untuk berakar,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan pendekatan kerajaan dalam soal pendidikan yang tidak bersifat ‘zero sum game’.

“Bahasa Melayu perlu kekal sebagai teras nasional, di samping keperluan menguasai bahasa Inggeris serta memberi ruang kepada bahasa lain termasuk pendidikan Cina dan UEC atau bahasa Arab tanpa mencetuskan kegelisahan atau salah faham,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangan terhadap kebejatan nilai dan moral dalam politik, masyarakat dan kepimpinan dunia hari ini.

“Agama dan kepercayaan tidak boleh terhenti sebagai slogan atau simbol, sebaliknya mesti menjadi suara nurani yang berani menentang rasuah, ketidakadilan, penindasan dan sikap membiarkan kezaliman berlarutan,” katanya.

Beliau berkata, peranan pemimpin agama dan badan keagamaan amat penting sebagai rakan dialog serta benteng nilai masyarakat.

Anda Mungkin Berminat