Oleh: Haikal Tajuddin
KOTA SETAR: Susulan peningkatan mangsa banjir di Kedah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM13 juta sebagai bantuan pasca banjir, hari ini.
Beliau berkata peruntukkan itu akan diberi secara saksama bagi memastikan semua kerosakan mendapat ganti rugi setimpal dengan kadar segera.
“Menerusi jumlah peruntukan tersebut, RM3 juta akan diperuntukkan di daerah Kota Setar sahaja manakala RM10 juta pula akan diberikan kepada seluruh negeri.
“Dengan peruntukan ini, ia dapat bantu memastikan kerosakan dan ganti rugi yang munasabah selepas banjir dapat ditangani dengan kadar yang segera dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan bencana banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Stadium Sultan Abdul Halim, Suku Menanti, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah pada Sabtu.
Tambahnya, misi bantuan banjir itu juga akan diteruskan menerusi peruntukan NADMA dan ICU sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.
Dia turut mengarahkan projek tebatan banjir di Kedah dapat dibuat dengan kadar segera bagi mengurangkan kelewatan untuk mengurangkan impak banjir setelah projek tersebut siap.
“Saya turut mengulangi arahan agar projek tebatan banjir itu sentiasa dipantau dengan teliti supaya tidak memberi impak negatif akibat banjir kepada projek tersebut sekiranya lewat disiapkan.
“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada semua yang terjejas dan dimudahkan urusan jentera serta agensi terlibat dalam pengurusan banjir,” jelasnya.