PM Umum RM500 Juta Baiki Infrastruktur Terjejas Banjir

DEWAN NEGARA | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM500 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam di seluruh negara yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Mengumumkannya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini, Anwar berkata semua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan telah diarahkan untuk membuat penilaian kerosakan serta mempercepatkan kerja pembaikan.

“Ini termasuk sekolah, klinik, kemudahan asas dan jalan. Bagi mempercepatkan tindakan, saya meluluskan RM500 juta untuk membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya.

RUU Perbekalan tersebut diluluskan di Dewan Rakyat semalam selepas dibentangkan pada 10 Oktober lalu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, memaklumkan bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah meningkatkan kesiapsiagaan bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Menurutnya, lebih 150 pusat pemindahan sementara (PPS) tambahan diaktifkan, menempatkan lebih 12,000 mangsa banjir.

Dalam pembentangan sama, Anwar menegaskan bahawa Belanjawan Madani 2026 berjumlah RM470 bilion terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, tadbir urus dan kesejahteraan rakyat. Sabah dan Sarawak turut diberikan keutamaan pembangunan melibatkan projek air, sekolah daif, Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan projek digital Kabel Dasar Laut Madani.

Bagi sektor keselamatan dan kesiapsiagaan bencana, Nadma menerima RM460 juta, manakala Kementerian Pendidikan memperoleh peruntukan terbesar sebanyak RM66.2 bilion, diikuti Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.5 bilion termasuk pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak pada tahun depan.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah Kerajaan Madani dan yang pertama dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13. Ia merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus, RM81 bilion perbelanjaan pembangunan, serta disokong pelaburan GLC (RM30 bilion), kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) dan sumbangan entiti berkaitan kerajaan (RM10.8 bilion).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat