PM Umum Sumbangan RM500,000 Di Majlis Makan Malam CUEPACS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menyampaikan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh penjawat awam atas komitmen dan dedikasi mereka sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, dalam satu majlis penuh penghormatan sempena Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke-30.

Dalam ucapannya di Majlis Makan Malam Konvensyen yang berlangsung meriah, Perdana Menteri menzahirkan rasa bangga terhadap peranan penting penjawat awam dalam membina kejayaan negara.

“Kerja keras kita selama tiga tahun ini mula memperlihatkan hasil.

“Kejayaan Malaysia yang kian terserlah menerusi keyakinan pelabur, kemajuan teknologi, serta kedudukan kita di pentas dunia, lahir daripada kegigihan penjawat awam yang bergerak seiring barisan pimpinan negara memastikan Malaysia terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan sesebuah kerajaan bukan hanya bergantung kepada pemimpinnya tetapi terletak pada keteguhan dan integriti perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

“Kekuatan kerajaan tidak berdiri pada pemimpinnya semata-mata tetapi pada teguhnya perkhidmatan awam, disiplin, integriti dan kesungguhan kalian yang menjadi tonggak serta tulang belakang pentadbiran negara.

“Prestasi kerajaan yang semakin cemerlang hari ini adalah cerminan kekuatan penjawat awam seluruhnya,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Anwar turut mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak RM500,000 bagi melancarkan perjalanan konvensyen CUEPACS sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan penjawat awam.

“Sebagai tanda penghargaan, saya umumkan sumbangan tambahan RM500,000 bagi melancarkan perjalanan konvensyen ini.

“Semoga Allah memperkukuh iltizam kita untuk terus memajukan Malaysia bersama-sama, berasaskan dedikasi tertinggi penjawat awam,” katanya.

Beliau juga memuji usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah bertungkus-lumus menyiapkan Skim Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SSPA), yang disambut baik oleh warga perkhidmatan awam.

“Ini termasuk seluruh jentera Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah bertungkus-lumus menyiapkan skim saraan baharu demi menaikkan gaji dan kebajikan penjawat awam.

“Alhamdulillah, SSPA ini telah menerima sambutan positif daripada rakan-rakan penjawat awam,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat