PM yakin pembaharuan fiskal dapat lonjakkan ekonomi, penyasaran subsidi

Penelitian terhadap senario terkini ekonomi Malaysia serta unjuran jangka pendek dan sederhana kedudukan fiskal negara antara agenda yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) pada Selasa.

Dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mengatakan bahawa langkah reformasi fiskal tersebut adalah sesuatu yang berat bagi semua pihak, namun usaha tersebut perlu dimulakan.

“Usaha perlu dimulakan untuk merancakkan semula ekonomi negara yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu.

“Hakikatnya, dengan hasil cukai sebanyak 11.8 peratus sahaja daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Kerajaan punyai ruang terhad untuk melabur dalam aspek pembangunan rakyat dan memberi bantuan sewajarnya kepada golongan rentas serta yang memerlukan,” katanya menerusi satu hantaran Facebook miliknya.

Tambah Anwar, bagi mengorak langkah Malaysia menggapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi, Kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan fiskal agar ia bertunjang di landasan yang mampan dan utuh.

“Pembaharuan fiskal akan ditumpukan kepada penyasaran subsidi dan memperluaskan asas hasil bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagihkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerjaan MADANI juga akan menoktahkan gejala ketagihan kepada hutang bagi memulihkan keyakinan pelabur luar. Dalam mesyuarat FPC tersebut, ahli jawatankuasa senada untuk memperkukuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (DMO).

“Sehubungan itu, ia boleh menambah baik pengurusan hutang Kerajaan serta memperkemaskan peranan Pejabat Perhubungan Pelabur (IRO) di bawah Kementerian Kewangan yang menjadi pusat rujukan utama untuk pelabur pasaran,” katanya lagi.

Turut hadir dalam mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusif; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat