KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Menerusi kenyataan, hari ini, beliau turut mendoakan agar Sultan Kedah, Sultanah Kedah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
“Patik merafak sembah serta ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Hari Keputeraan Ke-83, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
“Patik mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan ‘Daulat Tuanku’ sebagai tanda penghormatan dan taat setia kepada institusi diraja.
Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada September 2017, menggantikan kekanda baginda, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Baginda dikenali sebagai raja berjiwa rakyat yang sentiasa menitikberatkan kebajikan negeri dan kesejahteraan rakyat jelata.