PETALING JAYA: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia dengan sumbangan besar sebanyak 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta peranan penting dalam mewujudkan jutaan peluang pekerjaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Bil. 1/2025 di Kuala Lumpur, yang turut membincangkan langkah-langkah strategik untuk memperkukuh sektor keusahawanan negara.
“PMKS ialah tulang belakang ekonomi negara. Justeru, kita perlu memastikan sektor ini diperkukuh agar dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mesyuarat tersebut turut menyambut baik Belanjawan 2026 yang memperuntukkan kemudahan pinjaman dan jaminan bernilai RM50 bilion bagi menyokong pertumbuhan PMKS dan koperasi di seluruh negara.
Ia satu langkah yang dilihat mampu merangsang daya saing dan kelestarian sektor ini dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Menurut Zahid, antara keputusan penting yang dicapai ialah pelaksanaan Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah untuk PKS, yang bertujuan memperkukuh budaya etika dan integriti dalam perniagaan.
Pendekatan itu katanya, akan diperkasa dengan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat pelaksanaan dan meningkatkan keberkesanan program.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan komited memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui dasar yang inklusif, progresif dan berpaksikan integriti.
“Matlamat kita jelas dengan menjadikan PMKS sebagai pemacu utama ekonomi nasional dan serantau serta mewujudkan peluang lebih luas kepada rakyat, sejajar dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan pembangunan Malaysia MADANI,” katanya.
Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan berfungsi sebagai platform penyelaras dasar keusahawanan negara, dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan strategi pembangunan usahawan dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.








