KUALA LUMPUR: Persekutuan dan kerajaan Sarawak mencapai kesepakatan melalui kaedah rundingan dalam bentuk Kenyataan Bersama bagi mempermudahkan rundingan seterusnya antara PETRONAS dan PETROS.
Menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Kenyataan Bersama itu ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu pertemuan pada Rabu.
“Kenyataan Bersama ini memperakui undang-undang Persekutuan dan Negeri, kedudukan perjanjian-perjanjian sedia ada dan pembentukan rangka kerja kerjasama di antara PETRONAS dan PETROS.
“Antara lain, Kenyataan Bersama tersebut menyatakan perkara-perkara berikut:
i. Semua undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas di dalam Negeri Sarawak hendaklah wujud secara bersama dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti tersebut di Negeri Sarawak, termasuk PETRONAS dan PETROS.
ii. PETRONAS akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipan sepertimana yang diamanahkan kepada PETRONAS di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974) (“PDA 1974”) dan peraturan-peraturan di bawahnya.
iii. Kerajaan Negeri Sarawak telah melantik PETROS sebagai agregator gas berkuat kuasa 1 Mac 2025.

“Pelantikan ini hendaklah dihormati oleh semua pihak yang menjalankan perniagaan pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna domestik di Negeri Sarawak. iv. Sebarang perjanjian dan pengaturan (arrangement) antara PETRONAS dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG dari sektor huluan hingga ke pengeksportan LNG kepada pihak-pihak antarabangsa akan kekal tidak terjejas.
PETRONAS dan PETROS hendaklah mengadakan perbincangan bagi tujuan meluaskan kerjasama bagi keperluan gas domestik Negeri Sarawak, dalam bidang berikut:
i. Kerjasama dalam projek-projek penyaluran bekalan gas sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari (billion standard cubic feet per day) (Bscf/d) bagi menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak; dan
ii. Lain-lain projek tenaga hijau, hidrogen dan penjanaan elektrik yang mungkin dilaksanakan oleh PETRONAS dan PETROS, selaras dengan aspirasi Negeri Sarawak;
iii. Semua perbincangan lanjut mengenai kerjasama mesti tertakluk kepada daya maju komersial dan teknikal. Bagi tujuan projek-projek masa depan di Negeri Sarawak yang melibatkan rakan kongsi antarabangsa, PETRONAS akan bekerjasama dengan PETROS.
“Kedua-dua pihak PETRONAS dan PETROS hendaklah berusaha untuk terus bekerjasama memperincikan rangka kerja demi kepentingan negara mengikut prinsip komersial secara telus,” katanya.
Potensi besar yang dapat diterokai secara menyeluruh dari kesepakatan ini mampu memperkukuhkan kepercayaan dan mengembalikan keyakinan para pelabur khususnya syarikat-syarikat antarabangsa di dalam sektor petroleum untuk memuktamadkan hala tuju pelaburan masing-masing di Malaysia.
Baca juga: