PMO tuntut permohonan maaf secara terbuka daripada META

PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri menuntut permohonan maaf secara terbuka oleh Meta Platforms Inc (Meta) berhubung tindakan menurunkan beberapa kandungan berkaitan isu Palestin di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hal ini juga termasuk permohonan maaf secara terbuka selepas tindakan terbaharu Meta yang turut menyekat siaran langsung menerusi Facebook melibatkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin pada malam Ahad.

Perkara itu antara dicapai selepas pertemuan selama dua jam antara Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri selepas memanggil Meta untuk memberikan penjelasan itu.

Jelasnya, keputusan unilateral syarikat itu untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta.

“Pejabat Perdana Menteri menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Asy Syahid Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini.

“Tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan,” katanya pada Isnin.

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bersama tiga orang wakil Meta.

Menurut PMO, tindakan penurunan hantaran itu adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia.

Malah, tegasnya, ia memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.

Meta sebelum ini diberi per­i­nga­­tan tegas supaya tidak menjadi perkakas kepada rejim zalim Zionis Israel selepas sekali lagi menurunkan hantaran media sosial berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas itu.

Menurutnya, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat.

Anda Mungkin Berminat