IPOH: Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 hari ini rasmi dibuka di Perak, menandakan permulaan jelajah nasional yang memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.
Bertempat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru, Ipoh, penganjuran sulung tahun ini menghimpunkan lebih 200 agensi, membolehkan orang ramai mengurus pelbagai urusan tanpa perlu berulang-alik.
Program ini mengangkat tema “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni”, selari dengan usaha kerajaan memperkasa pembangunan bandar, perumahan dan kesejahteraan komuniti.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) Nga Kor Ming, berkata PMR bukan sahaja mempercepat penyampaian perkhidmatan, malah mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat.
“Pembukaan tirai PMR di Perak ini menjadi simbol kesungguhan kerajaan untuk turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta menawarkan penyelesaian secara terus dan berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sepanjang tiga hari penganjuran, orang ramai boleh menikmati pelbagai aktiviti termasuk perkhidmatan agensi kerajaan, inisiatif kesejahteraan rakyat, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, peluang pekerjaan dan aktiviti komuniti mesra keluarga.
Majlis perasmian rasmi dijadual pada 4 April 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PMR 2026 dijangka menjadi platform penting memperkasa kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan agenda Malaysia MADANI di peringkat akar umbi.
Baca juga:








