PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Belanjawan MADANI Keempat yang bakal dibentangkan Oktober ini akan memperkenalkan langkah-langkah baharu khusus untuk meringankan beban rakyat dan memperkukuh kesejahteraan ekonomi.
Dalam ucapannya bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, Anwar berkata kerajaan komited meneruskan kesinambungan dasar yang mengutamakan rakyat, dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersasar.
“Segala dasar, segala keputusan, segala ikhtiar yang kita usahakan semalam, hari ini mahupun esok, semuanya berbalik kepada maslahat rakyat,” tegas beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa ikhtiar-ikhtiar segera yang diumumkan hari ini hanyalah sebahagian daripada bantuan tahun 2025, dan kerajaan kini sedang merangka langkah tambahan untuk tahun hadapan melalui Belanjawan 2026.
Antara pendekatan yang dijangka menjadi fokus termasuk:
Memperluas jaringan keselamatan sosial
Penyediaan peluang pekerjaan dan peningkatan gaji
Pelaburan dalam pendidikan dan kesihatan
Penyasaran subsidi yang lebih adil dan berkesan
Peruntukan berskala besar untuk program akar umbi seperti Sejati MADANI dan Sekolah Angkat
Anwar memberi jaminan bahawa setiap sen yang dibelanjakan akan diteliti agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat biasa, dan bukan untuk membiayai ketirisan atau pembaziran.
Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan pada Oktober 2025 di Parlimen bakal menjadi pelan tindakan strategik bagi tahun hadapan – sekali gus mengukuhkan asas reformasi ekonomi dan keadilan sosial yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Baca juga: