PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) terus dipalit krisis dalaman apabila Bersatu dan PAS bercanggah mengenai siapa menanggung kos Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas pegawai Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendedahkan Bersatu menanggung sepenuhnya kos pilihan raya termasuk bantuan besar kepada PAS. Namun, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini mendakwa PAS yang menanggung beban kewangan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan percanggahan itu bukti rapuhnya PN.
“Hari ini Bersatu mengungkit, esok PAS pula menafikan. Inilah politik buruk siku,” katanya.

Beliau mendakwa PAS kini mahu mengambil alih kepimpinan PN selepas mendapat bantuan Bersatu, sekali gus memperlihatkan perebutan kuasa dalam gabungan tersebut.
Mahfuz memberi amaran, jika parti yang bertelagah soal kos pilihan raya ini diberi kuasa memerintah, rakyat akan menjadi mangsa akibat pertelingkahan tanpa kesudahan.
Katanya, PN gagal mengurus kejujuran sesama sendiri, apatah lagi untuk mentadbir negara.
“Kalau kos pilihan raya pun tak sehaluan, bayangkan bila pegang negara,” tegasnya.
PRU15 lalu menyaksikan PN meraih kejayaan besar dengan PAS menang 43 kerusi Parlimen menjadikan rekod terbesar dalam sejarah mereka. Namun isu kos kempen kini membuka pekung sebenar rapuhnya gabungan itu.
Baca juga:








