PN Hantar Surat Minta Peruntukan – Fadillah

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan Perikatan Nasional (PN) sudah menghantar surat berhubung permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah berkata, surat tersebut dikirim oleh Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan pihaknya akan meneliti sebelum memberikan maklum balas dalam masa terdekat.

“Selepas meneliti dan mendapat panduan, saya akan respon tetapi tidak perlulah dibincangkan di media,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Fadillah ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Kem Ihya Ramadan di Auditorium Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Telaga Air, Kuching, Sarawak pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Fadillah enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang kini sedang dipertimbangkan oleh Kerajaan.

Minggu lalu, Fadillah berkata, Kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonan Syed Saddiq berikutan beliau satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang yang mengadakan perbincangan serta menghantar permohonan rasmi untuk mendapatkan peruntukan itu.

Menurut Fadillah, secara prinsipnya, Syed Saddiq bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan sebelum ini dan ketika ini pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan draf perjanjian dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat