PN Terus Beri Alasan Tolak MoU

PETALING JAYA: Penolakan kandungan draf memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terus disuarakan oleh pembangkang dengan pelbagai alasan.

Pada Selasa, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, keputusan PN menolak MoU tersebut adalah kerana kandungan yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan dan nilai-nilai masyarakat Asia.

Malah, beliau turut mengajak rakyat untuk menolak MoU itu bersama pembangkang.

“Bagi saya, peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MOU.

“Ini adalah janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto PRU15 dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan langkah Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof yang mewakili kerajaan dalam rundingan dengan PN mendedahkan kandungan MoU kepada umum, selepas keputusan PN untuk menolaknya dan mengkritiknya secara terbuka.

Antara alasan lain yang dinyatakan, Muhyiddin mendakwa MoU itu melarang Ahli Parlimen PN untuk bersuara mengenai isu kaum, agama dan raja (3R) dan tindakan membangkitkannya dianggap sebagai menyebarkan kebencian.

“Ini tidak betul. Negara ini dibina atas persefahaman antara kaum atau kontrak sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Apa hak Kerajaan PH-BN untuk menghalang ahli-ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat?

“Adakah Kerajaan PH-BN ingin memadam sejarah pembentukan Malaysia yang merdeka, meruntuhkan teras pembinaan negara bangsa yang aman dan harmoni, menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain dan menulis semula Perlembagaan secara halus menerusi MOU ini?” soalnya.

Muhyiddin turut mendakwa MoU itu mengandungi unsur yang bertentangan dengan nilai masyarakat Asia, apabila menghalang Ahli Parlimen PN membuat kenyataan yang mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada atas dasar agama, kaum atau apa-apa faktor identiti yang lain.

“Identiti yang lain ini termasuklah kumpulan ‘lesbian, gay, bisexual dan transgender’ (LGBT). Adakah ini bermakna jika Ahli-Ahli Parlimen PN bersetuju dengan draf MOU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?” soalnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat