Pokok Tumbang, Perkhidmatan ETS Kembali Beroperasi Guna Satu Landasan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang terganggu akibat kejadian pokok tumbang pada Isnin kembali beroperasi pagi ini menggunakan satu landasan di laluan Sungkai–Slim River, Perak, bermula pukul 6.32 pagi.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, walaupun operasi tren telah disambung semula, kelewatan perjalanan masih berlaku kerana kerja pembaikan sedang giat dijalankan.

Menurut KTMB, pasukan teknikal kini memberi tumpuan kepada kerja baik pulih sistem elektrifikasi di lokasi terjejas bagi memastikan operasi tren dapat dipulihkan sepenuhnya dengan selamat dan secepat mungkin.

“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan susulan kelewatan melebihi dua jam layak mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perjalanan, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada,” katanya.

KTMB turut berkata, penumpang yang mengalami kelewatan tren selama empat jam atau lebih dan membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist di 010-368 7829 atau melalui e-mel [email protected].

Susulan insiden itu, KTMB menyediakan 12 bas bagi memindahkan penumpang ke Stesen Slim River (arah utara) dan Stesen Sungkai (arah selatan) sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren.

Selain itu katanya, makanan ringan dan air mineral turut diagihkan kepada penumpang daripada 12 tren yang terjejas sebaik tiba di kedua-dua stesen berkenaan.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui saluran media sosial rasmi KTMB.

“Pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama penumpang sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter terganggu selepas kejadian pokok tumbang pada pukul 4.20 petang yang menyebabkan kerosakan talian atas di antara Sungkai dan Slim River.

KTMB memaklumkan insiden itu mengakibatkan 12 tiub cantilever patah, sekali gus menjejaskan bekalan kuasa tren di laluan berkenaan.

Anda Mungkin Berminat