Polis memaklumkan sudah mengambil keterangan pemandu kenderaan rasmi kerajaan yang dipercayai mengekori ambulans di laluan kecemasan ketika kesesakan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan, Perak pada awal Februari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mengesahkan pemandu tersebut merupakan pemandu kepada seorang menteri.
“Keterangan pemandu lelaki tersebut sudah diambil dan kes masih lagi dalam siasatan. Pemandu tersebut memandu kenderaan berkenaan bersama menteri dalam perjalanan ke sebuah program kebajikan yang dilangsungkan di kawasan rumah pangsa di Jalan Silang, Ipoh pada hari kejadian.
“Namun, menteri berkenaan tidak sempat menghadiri program tersebut kerana kesesakan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Yusri turut berkata pihak polis akan memanggil saksi awam untuk membantu siasatan di samping mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihak PLUS.
Pihak polis turut menasihati semua orang untuk tidak membuat spekulasi terhadap video yang tular terbabit kerana kes masih lagi dalam siasatan.
Untuk info, kejadian tersebut berlaku pada 3 Februari lalu pada pukul 10.27 pagi.
Baca juga: