Polis berkas lelaki jual cecair vape dicampur dadah jenis ketamin

Polis menahan seorang peniaga disyaki menjual cecair vape mengandungi dadah jenis ketamin di Taman Ria, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, pihaknya menahan lelaki berusia 26 tahun itu di premis miliknya.

“Tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Port Dickson dan merampas cecair vape yang dijual di premis itu.

“Polis mengenal pasti modus operandi suspek dipercayai mencampurkan cecair vape dengan cecair dadah disyaki jenis ketamin.

“Polis percaya cecair vape yang mengandungi dadah itu dijual di kalangan warga tempatan di sekitar pekan Port Dickson dan sekitarnya.

“Kita turut merampas tiga botol cecair yang dipercayai mengandungi cecair dadah ketamin dan 164 botol cecair pelbagai perisa yang sudah dibungkuskan semula dalam kuantiti yang lebih kecil sebelum dijual kepada pelanggannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, cecair tersebut turut dimasukkan ke dalam botol sebelum dipasarkan kepada pelanggan.

“Cecair vape yang sudah bercampur dadah itu dimasukkan dalam botol yang kuantiti lebih kecil sebelum dijual kepada pelanggannya.

“Jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 4,885 mililiter yang dianggarkan bernilai RM14,654,” jelasnya.

Menurut laporan, suspek sedang direman dan dijangka akan didakwa di Mahkamah Majisterat Port Dickson pada Isnin ini.

Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki cecair dadah dan positif dadah disyaki ketamin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat