Polis berkas samseng jalanan di Kelantan

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun menerusi Op Samseng Jalanan di sekitar daerah Pasir Puteh, Kelantan pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Zaizul Rizal Zakaria, operasi dijalankan pada pukul 4 petang hingga 12 tengah malam sekali gus mengerahkan seramai 11 orang anggota daripada Balai Polis Pasir Puteh.

“Operasi dijalankan berikutan gejala samseng jalanan yang kembali aktif berdasarkan pemerhatian dan aduan awam pada bulan Ramadan.

“Dalam operasi tersebut, sejumlah 51 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan sitaan 12 buah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan mendapati, lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1959.

“Dinasihatkan supaya ibu bapa dan penjaga untuk lebih peka dan memantau aktiviti anak-anak mereka supaya tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat,” ujarnya

Difahamkan, Polis Daerah Pasir Puteh akan terus memantau dan menjalankan operasi bagi mencegah kegiatan tidak sihat sepanjang bulan Ramadan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat