Polis buru 2 lelaki disyaki curi pagar rumah di Sarawak

Polis sedang giat mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian mencuri pagar rumah di kawasan perumahan Sealine 1, Miri, Sarawak pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang kontraktor perumahan kira-kira pukul 11.48 pagi Khamis berhubung kejadian terbabit. 

“Pengadu melaporkan bahawa salah satu pagar rumah di kawasan perumahan Sealine 1 telah dicuri oleh orang yang tidak dikenali di mana video tersebut tular di media sosial. 

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) telah diperolehi. 

“Rakam CCTV tersebut menunjukkan dua orang lelaki telah mengangkat pagar rumah tersebut dan meletakkannya di atas bumbung sebuah kereta berwarna silver,” katanya dalam satu kenyataan.

Alexson memberitahu ekoran daripada kejadian tersebut, BSJ IPD Miri membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. 

“Pihak BSJ IPD Miri kini telah melancarkan Operasi Kesan bagi mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” jelasnya. 

Justeru itu, beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana bimbang akan mengganggu siasatan.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Norashikin Adin di talian 085-433222 untuk menyalurkan maklumat berkaitan. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat